Monday, November 9, 2009

Utara: Berbogel kena cekup

Oleh Fauzi Rahim Mustafa
bhnews@bharian.com.my


PAKAIAN sukan, seragam sekolah ditemui di rumah kosong di Taman Semarak Fasa I.

Rumah kosong markas lampias nafsu pelajar ponteng

SUNGAI PETANI: Sebuah rumah berkembar di Taman Semarak Fasa I yang dipercayai kosong sejak lebih lima tahun lalu kini dipercayai dijadikan markas pasangan kekasih melampiaskan nafsu selain 'port' remaja melakukan kegiatan tidak bermoral.

Kedudukan rumah kosong yang agak tersorok itu menyebabkan rumah setingkat itu dijadikan 'sarang maksiat' oleh golongan kemaruk seks selain tempat penagih dadah serta penghidu gam melepaskan gian.

Rumah kosong yang dipenuhi semak menjadi lokasi popular sebahagian pelajar sekolah menengah berdekatan taman berkenaan ponteng sekolah, menghisap rokok dan minum arak.

Tinjauan Berita Harian mendapati, ruang tamu di dalam rumah itu bersepah dengan sisa bungkusan makanan, nota pelajaran dan beberapa pasang selipar yang sudah rosak.

Di dalam ketiga-tiga bilik rumah itu pula berselerak dengan seluar dalam lelaki dan wanita yang ditinggalkan, selain beberapa helai seluar sukan dan baju sekolah tanpa lencana sekolah.

SELUAR dalam dan tuala dipercayai milik pelajar ponteng.

Beberapa botol minuman keras pelbagai jenama pula ditemui di bahagian dapur rumah berkenaan berserta beberapa batang lilin yang sudah digunakan.

Penduduk, Annuar Ishak, 39, berkata beliau pernah menyerbu rumah itu baru-baru ini dan menemui sepasang kekasih dipercayai pelajar dari sebuah sekolah menengah di sini dalam keadaan berbogel dipercayai hendak melakukan seks haram.

"Saya percaya pasangan pelajar itu membuat temu janji sebelum menjadikan rumah kosong itu sebagai lokasi memuaskan nafsu.

"Mujur secara kebetulan saya ternampak mereka tergesa-gesa memasuki rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak memeriksa lebih lanjut bersama seorang rakan," katanya.

Annuar berkata, dia dan rakannya tiba tepat pada waktunya kerana ketika menerpa di dalam bilik rumah berkenaan kedua-dua pelajar itu sudah pun berbogel sebelum mengarahkan mereka berpakaian semula.

Annuar berkata, dia percaya sebelum ini ramai lagi remaja melakukan maksiat di situ berdasarkan keadaan rumah yang dipenuhi pakaian dalam lelaki dan wanita termasuk seragam sekolah dibiarkan berselerak di dalam bilik rumah berkenaan.

"Ramai penduduk menggesa pemilik rumah itu membersihkan persekitarannya kerana dikhuatiri akan terus dijadikan lokasi melakukan kegiatan tidak berakhlak.

"Selagi rumah kosong itu tidak diurus oleh pemiliknya, selagi itulah kegiatan tidak bermoral akan terus berlaku di situ kecuali pihak berkuasa tempatan mengambil langkah drastik menanganinya," katanya.

No comments:

Post a Comment