Friday, November 6, 2009

Pindaan Akta Dewan Bahasa

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 diharap dapat memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menangani penggunaan 'bahasa rojak' di kalangan masyarakat negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kuasa itu bukan untuk menghukum sebaliknya lebih kepada memberi pendidikan.

Justeru katanya, penerangan perlu dibuat kepada pihak-pihak yang sangsi terhadap usaha berkenaan agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Sebagai contoh, penggunaan 'bahasa rojak' kini semakin menggerunkan kita. Saya semakin risau dengan masalah ini terutama terhadap masalah penggunaan bahasa Melayu yang semakin parah di dalam masyarakat.

"Mungkin kerana perkembangan teknologi yang pesat, modenisasi, sikap dan faktor globalisasi, DBP dilihat sukar untuk menangani cabaran-cabaran bahasa Melayu kini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Kualiti DBP 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaffar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Mohd. Puad memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa draf pindaan Akta DBP 1959 sedang disemak oleh penasihat undang-undang kementerian itu dan dijangka akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentang ke Parlimen pada tahun depan.

"Jika sebelum ini DBP tidak berpeluang untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat, dengan pindaan ini diharapkan keadaan tersebut akan berubah,'' ujarnya.

Katanya, salah satu aspek berkenaan adalah dari segi penggunaan bahasa Melayu pada papan-papan tanda.

Beliau mencadangkan salah satu usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu adalah perbincangan secara berterusan antara DBP dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung hal itu.

"Bahasa Melayu amat penting dalam menjayakan gagasan 1Malaysia kerana melalui bahasa semua kaum di negara ini dapat disatukan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment