Friday, October 2, 2009

Khaled jawab kebimbangan Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui jumlah pelajar Melayu dalam bidang kritikal di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) agak rendah berbanding kaum lain di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, bilangan pelajar Melayu semakin meningkat di IPTA tetapi kebanyakannya tertumpu dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

‘‘Secara umumnya jumlah pelajar Melayu di IPTA semakin meningkat. Peningkatan itu adalah kesan daripada sistem meritokrasi yang diperkenalkan pada 1999.

‘‘Cuma diakui bilangan mereka agak rendah dalam bidang kritikal dan popular seperti perubatan dan kejuruteraan berbanding kaum lain,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bimbang dengan jumlah kemasukan pelajar Melayu ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang semakin berkurangan berbanding kaum lain.

Mengulas lanjut, Mohd. Khaled berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan itu bagi memastikan bilangan tersebut dapat diimbangi dengan kaum lain secara berperingkat.

Katanya, walaupun pelajar Melayu tidak menguasai bidang kritikal tetapi peluang pekerjaan masih luas untuk mereka.

‘‘Tidak bererti gagal menguasai bidang kritikal sukar mendapat pekerjaan. Masih banyak peluang kerja menanti mereka yang berkemahiran,’’ jelasnya.

Pelajar Melayu makin kurang

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Negara akan berdepan dengan dilema ketandusan profesional Melayu terutama dalam bidang perubatan dan kejuruteraan jika tindakan tidak diambil bagi menyediakan pelapis dalam bidang tersebut untuk tempoh jangka panjang.

Senario itu tidak mustahil berlaku ekoran kemasukan pelajar Melayu dalam bidang kritikal di kebanyakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini sejak 10 tahun lalu sangat rendah berbanding kaum lain.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah mendedahkan, sejak sistem meritokrasi diperkenalkan pada awal tahun 1999, jumlah pelajar Melayu yang memasuki bidang kritikal tidak sampai 30 peratus berbanding pelajar bukan Melayu.

Menurutnya, sangat menyedihkan melihat ketandusan pelajar Melayu dalam jurusan farmasi, kejuruteraan, sains, perundangan, perubatan, pergigian serta perakaunan.

‘‘Contohnya sebelum meritokrasi diperkenalkan terdapat 70 peratus pelajar Melayu dalam bidang farmasi tetapi kini fenomena itu sudah terbalik.

‘‘Sedangkan pelajar Melayu sangat diperlukan untuk memasuki bidang-bidang kritikal demi memastikan usaha membangunkan bangsa Melayu dan negara dapat diteruskan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyebut jumlah kemasukan pelajar Melayu ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang semakin berkurangan berbanding kaum lain.

Semalam, Dr. Mahathir menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan tersebut dan mengaitkan fenomena itu dengan perpecahan orang Melayu yang akan mengakibatkan kerajaan menjadi lemah sehingga terpaksa akur pada pelbagai tuntutan.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, perpecahan Melayu yang semakin parah sejak tahun 1999 turut menjadi faktor kepada kekurangan pelajar Melayu di IPTA.

‘‘Kaum lain mengambil peluang untuk membuat pelbagai tuntutan apabila mendapati Melayu semakin lemah dan berpecah. Keadaan ini turut memberi kesan kepada pelajar Melayu di IPTA,’’ jelasnya.

Serentak dengan itu, beliau menyarankan agar UiTM yang merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menerima kemasukan 100 peratus pelajar Melayu diperkukuhkan bagi mengimbangi pelajar kaum lain dalam bidang kritikal.

‘‘Buat masa ini pelajar UiTM berjumlah 140,000. Jika mahu mengimbangi cerdik pandai kaum lain bagi jangka panjang, jumlah pelajar UiTM mesti ditingkatkan sehingga 400,000,’’ jelasnya.

Beliau berkata, UiTM juga mestilah dibenarkan memulakan kursus asasi dalam semua bidang kritikal bagi membekalkan pelajar Melayu ke IPTA lain yang mempunyai masalah kekurangan pelajar Melayu dalam bidang tersebut.

Katanya, IPTA yang lain juga diwajibkan menerima pelajar diploma daripada UiTM untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti tersebut tanpa sebarang alasan.

Salah laku murid meningkat

PUTRAJAYA 30 Sept. – Kadar salah laku disiplin murid sekolah rendah termasuk penyalahgunaan dadah mencatat peningkatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ia berbeza dengan pelajar sekolah menengah yang menunjukkan penurunan dalam kes tersebut dalam tempoh yang sama.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, walaupun peningkatan masalah disiplin di sekolah rendah hanya daripada 0.78 peratus kepada 0.79 peratus, pihak kementerian tetap menganggapnya sebagai serius.

Secara keseluruhan, katanya, dalam tempoh enam bulan pertama ini, jumlah murid yang terlibat dengan salah laku disiplin ialah 1.26 peratus iaitu menurun 0.01 peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama pada 2008.

“Isu yang melibatkan disiplin murid secara keseluruhannya berada dalam situasi terkawal walaupun ia membabitkan kes berat seperti pukul, gaduh, ponteng sekolah serta masalah disiplin ringan.

“Peningkatan yang berlaku di peringkat sekolah rendah membabitkan ponteng sekolah, kekemasan diri dan kurang sopan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Disiplin kali ke-2 bersama polis, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kesatuan-kesatuan guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kadar salah laku disiplin pelajar sekolah menengah secara keseluruhannya menurun daripada 1.96 peratus tahun lalu kepada 1.93 peratus tahun ini.

Statistik kementerian menunjukkan terdapat 3.2 juta murid sekolah rendah dan 2.2 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Ka Siong berkata, jumlah aduan disiplin murid yang diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini ialah 65 kes, menurun 31 kes berbanding 96 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Tugas mendisiplinkan pelajar antara tugas utama guru, mana-mana pengurusan sekolah yang didapati cuai dan lalai dalam usaha ini akan dikenakan tindakan,” katanya.

Sementara itu, dalam mesyuarat tersebut, antara cadangan bagi menangani isu disiplin ialah pembayaran elaun tanggungjawab dan pengurangan waktu mengajar bagi guru kanan disiplin di sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, mewujudkan jawatan warden di semua asrama sekolah di seluruh negara dan mengecilkan nisbah guru kaunselor daripada 1:500 kepada 1:300.

Ia juga mencadangkan diperkenalkan program rintis Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) di 116 sekolah menengah, pelaksanaan piawaian keselamatan sekolah dan kerjasama erat dengan NGO dan Majlis Pemangkin Aspirasi Nasional (Mapan), Persatuan Psikologi Malaysia dan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF).

Beri pendidikan berkualiti - TPM

PORT DICKSON 28 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan golongan pendidik dan perancang agar menyediakan pengisian pendidikan yang berkualiti tinggi supaya generasi masa depan dapat mengikuti sistem pendidikan yang terbaik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, memang menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melihat generasi masa depan menguasai pembelajaran secara efisien dan berkualiti termasuk dengan menyediakan kemudahan fizikal yang baik.

''Di sebalik perancangan kerajaan menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif, kita seharusnya tidak boleh melupakan tenaga manusia terlatih terutama dalam menyediakan modal insan yang diperlukan negara,'' katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Menurut Muhyiddin, kerajaan tidak akan mengabaikan sistem pendidikan negara kerana menyedari ia adalah perkara penting dalam pembangunan negara.

''Pendidikan adalah aspek yang kita (BN) berikan perhatian sejak dahulu lagi. Saya sebut ini kerana ia merupakan dasar kerajaan BN yang dibuat secara berterusan.

''Kita berikan perhatian yang paling utama dalam soal pendidikan bahkan memastikan akses pada pendidikan juga hendaklah berkualiti," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan mahu melihat pada masa hadapan anak- anak dididik dengan pemikiran berdaya tinggi, mampu menguasai sains dan teknologi serta hebat dalam bidang inovasi.

''Kita tidak boleh bergantung kepada tenaga asing dan kepakaran luar negara. Kita mahu melahirkan kelompok yang mahir di kalangan rakyat Malaysia dan ada kepakaran sendiri yang sekali gus mempercepatkan proses pembangunan negara," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar kerajaan cukup jelas dalam mengutamakan pendidikan di negara ini dan ia sepatutnya tidak dipersoalkan oleh sesiapa pun.

''Kita tidak mahu ada anak-anak kita yang terkecuali dalam soal pendidikan. Kita mahu mereka diberikan peluang belajar yang secukupnya supaya mereka boleh menimba ilmu dan mentadbir negara pada masa hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta lagi bagi membangunkan sekolah menengah berdekatan sekolah rendah tersebut.

Katanya, kos pembinaan Sekolah Kebangsaan Intan Perdana yang menyediakan 18 bilik darjah dan dua kelas pra sekolah juga ditambah RM500,000 lagi berbanding kos asal RM18 juta kerana ia menggunakan sistem binaan industri (IBS).

''Sekolah lama di sekitar kawasan ini sudah terlalu sesak dan ketika ini ia hanya mampu menampung lebih 1,700 pelajar. Jadi kita bersetuju untuk membangunkan sekolah yang baru di Taman Intan Perdana ini.

''Kita mahu memastikan pembinaan sekolah itu nanti dibuat secepat mungkin dan akan menggunakan kaedah pembinaan IBS. Saya mahu melihat sekolah rendah ini dapat dibina bermula awal 2010 dan dapat disiapkan sebelum penghujung 2011,'' tegasnya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM3.8 juta bagi membaiki dan menaik taraf 21 buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kepada Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhammad.

Ganjaran khas pendidik

PORT DICKSON 18 Sept. - Kerajaan akan mengumumkan satu bentuk ganjaran khas kepada seluruh warga pendidik berdasarkan prestasi mereka menjelang Oktober ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, ia selari dengan hasrat kerajaan mempertingkatkan akses pengajaran dan pendidikan berkualiti di negara ini.

''Ia masih pada peringkat penelitian yang kini sudah hampir 90 peratus selesai dibincangkan di bawah perincian Bidang Keberhasilan Utama Negara ketiga (NKRA-3).

''Saya yakin ia akan diumumkan sendiri oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan depan," kata beliau.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program perjumpaan khas bersama warga pendidik daerah Port Dickson di sini malam tadi.

Beliau memberitahu, ganjaran itu akan diberikan kepada sekolah, pengetua dan guru di seluruh negara yang mempamerkan prestasi cemerlang.

''Mana-mana sekolah, guru besar, pengetua dan guru yang menunjukkan prestasi cemerlang, layak untuk diberikan ganjaran berkenaan.

''Inisiatif ini adalah untuk memberikan ganjaran kepada warga pendidik yang komited dalam membantu kerajaan bagi membentuk sekolah berprestasi tinggi menjelang 2012,'' katanya.

Menurutnya, dengan ganjaran itu, warga pendidik tidak lagi perlu memikirkan atau menunggu pemberian bonus serta kenaikan pangkat.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad memberitahu, kementerian itu akan mewujudkan sebuah unit khas dalam memperincikan soal pembangunan pendididkan luar bandar.

''Menerusi unit ini, kita yakin ia mampu merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar.

''Unit ini juga akan berfungsi mempertingkatkan bukan sahaja keadaan fizikal sekolah di luar bandar dari segi infrastruktur dan kemudahan malah termasuk soal pemantapan pengisian pendidikan di kawasan terlibat," jelas Mohd. Puad.