Sunday, August 30, 2009

Pelajar lebih minat pembelajaran guna komputer

PELAJAR didapati menunjukkan minat yang mendalam terhadap pelajaran jika guru mengajar menggunakan komputer.

Minat yang ditunjukkan itu bukan sahaja oleh pelajar sains tetapi meliputi pelajar sastera.

Pensyarah Jabatan Kurikulum Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Saedah Siraj berkata, kajiannya turut mendapati selain komputer, pelajar juga menunjukkan minat jika pembelajaran dilakukan menerusi lawatan dan permainan.

Menurut Saedah, kajian itu dilakukan terhadap pelajar tingkatan empat di empat buah sekolah di Kedah yang meliputi 242 pelajar pelbagai kaum.

Namun begitu cara tersebut tidak menolak sepenuhnya teknik pengajaran konvensional iaitu secara syarahan atau kuliah dalam bilik darjah.

``Majoriti pelajar juga masih mahu pendekatan syarahan dilaksanakan walaupun terdapat teknik pengajaran baru,'' katanya.

Teknik sedemikian lebih tertumpu kepada pelajar-pelajar aliran sastera berbanding aliran sains.

Hasil kajian juga mendapati hampir 50 peratus pelajar kedua-dua aliran tidak menyukai teknik pengajaran yang memerlukan mereka memainkan peranan masing.

``Antara peranan yang dimaksudkan ialah mereka tidak suka disuruh, ditanya atau bangun memberi pandangan atau melibatkan diri dalam pengajaran,'' katanya.

Sikap sedemikian menurut Saedah, menyukarkan guru untuk mencungkil kreativiti dan inovasi seseorang pelajar.

Namun yang menarik dalam kajian tersebut ialah, terdapat sekumpulan pelajar yang tidak menyukai kesemua teknik yang dilampirkan dalam kajian.

Terdapat beberapa teknik yang disenaraikan dalam kajian berkenaan antaranya teknik syarahan/kuliah, berbantukan komputer,lawatan perbincangan kelas, demonstrasi, sumbang saran, kumpulan kecil, main peranan, berpasangan dan permainan.

``Kumpulan kecil yang mewakili kira-kira lapan peratus daripada responden ini walaupun kecil tetapi memerlukan kajian mengenai sikap mereka,'' katanya.

Mereka mungkin terdiri daripada sekumpulan pelajar yang tidak tahu apa yang mereka belajar justeru guru perlu mengambil pertimbangan untuk memberi perhatian terhadap kumpulan tersebut.

``Ini memerlukan kreativiti guru bagi menarik mereka untuk belajar,'' katanya.

Menurut Saedah, walau apa juga teknik pengajaran yang dilakukan oleh guru, para pelajar masih memerlukan bantuan guru dalam pelajaran.

``Ini bukan sahaja meliputi pelajar dari sekolah yang tidak cemerlang dalam akademik tetapi juga pelajar cemerlang seperti di sekolah asrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),'' katanya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, hasil kajian itu memerlukan guru-guru mengambil kira minat pelajar terhadap teknik pengajaran yang sesuai dengan pelajar itu termasuk aliran pelajar berkenaan.

``Kadang-kadang guru diberi teknik pengajaran yang baru tetapi tidak mengambil kira pandangan pelajar iaitu pelanggan utama dalam sistem pendidikan kita,'' katanya.

Malah guru-guru juga harus bertanya sama ada mereka mampu untuk melaksanakan teknik baru itu.

No comments:

Post a Comment