Saturday, September 12, 2009

Pelajar Malaysia terpaksa sembunyikan identiti

JOHOR BAHRU 11 Sept. - Kira-kira 1,000 pelajar Malaysia di Jakarta mengambil langkah berwaspada termasuk terpaksa 'menyembunyikan' identiti sebagai rakyat Malaysia bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Mereka turut mengelak daripada berada di tempat awam di luar kampus ekoran tindakan sekumpulan penunjuk perasaan bersenjatakan buluh runcing dalam gerakan Sweeping Malaysia (Sapu Malaysia) bagi mencari dan mengusir rakyat negara ini.

Pelajar perubatan Universiti Trisakti Jakarta, Nur Atfina Sabri, 22, berkata, dia dinasihatkan agar tidak memakai pakaian beridentiti Malaysia seperti baju kurung agar tidak menampakkan diri sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar rumah.

"Kami juga diberi amaran supaya mengelak berada di luar kampus atau rumah jika tidak perlu dan tidak pergi lokasi berlaku rusuhan seperti Jalan Diponegoro, katanya yang berasal dari Johor Bahru ketika dihubungi di Jakarta hari ini.

Baru-baru ini, sekumpulan penunjuk perasaan dalam gerakan dikenali sebagai Sapu Malaysia menahan kenderaan-kenderaan yang melalui Jalan Diponegoro bagi mencari dan mengusir rakyat Malaysia dari Indonesia.

Kumpulan berkenaan yang mengikat bendera Indonesia di kepala meminta pemandu dan penumpang menyerahkan kad pengenalan masing-masing bagi merampas kad pengenalan Malaysia.

Tindakan berkenaan dilakukan berikutan tuduhan Malaysia mencuri Tarian Pendet yang berasal dari Bali yang dilemparkan media massa Indonesia terhadap Malaysia.

Nur Atfina berkata, walaupun timbul sedikit sebanyak perasaan takut namun pelajar-pelajar Malaysia di empat buah universiti di Jakarta berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, mereka juga sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini oleh Kedutaan Malaysia dan Biro Perhubungan Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia di Indonesia.

Rakannya, Nur Shamila Shaari, 22, berkata, pakaian wanita Malaysia dan Indonesia tidak begitu berbeza kecuali gaya pemakaian dan jenis tudung.


Sumber : Utusan Malaysia.

Melayu tak minat IT?

BIDANG teknologi maklumat (IT) bukan hanya untuk mereka yang genius, sebaliknya anda boleh berjaya jika rajin berusaha. Hakikatnya, bidang ini dipelopori bangsa Cina dan India. Di mana kelibat anak-anak Melayu?

Anak Melayu berkebolehan, cuma kurang pendedahan menyebabkan mereka gagal menunjukkan bakat. Kita dapati kebanyakan anak Melayu berkecimpung dalam bidang pengurusan berbanding sains komputer. Mereka menganggap bidang ini sukar dipelajari.

Ada juga segelintir pelajar Melayu terlalu mengambil mudah dalam memilih sesuatu jurusan. Mereka hanya memilih bidang yang mudah lulus atau program popular. Sejauh manakah kebenarannya?

Persoalan sukar tidak perlu timbul di kalangan pelajar Melayu kerana mereka perlu sedar setiap perkara yang baru dipelajari akan diperkenalkan daripada akar umbi dahulu dan bukannya terus ke puncak.

Ini bermakna, bidang sains komputer itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dipelajari jika bermula dari peringkat asas.

Pakar dalam bidang ini juga perlu mempunyai idea untuk menarik minat masyarakat dalam mendalami bidang ini terutama dalam bidang pengaturcaraan.

Mereka perlu didedahkan betapa pentingnya bidang ini untuk bersaing dalam dunia yang semakin maju seiring teknologi global.

Masyarakat perlu didedahkan dengan skop kerjaya dalam bidang ini supaya mereka dapat berpandangan lebih jauh.

Mereka juga mesti mengambil kira aspek kehendak semasa dan skop kerjaya yang luas dan mampu membantu mengubah corak hidup mereka jika menguasai bidang berkenaan.

Kepentingan dan permintaan dalam industri ini yang sangat ketara malah mudah menjadi perhatian majikan, cuma mereka perlu diberi penerangan jelas untuk mendekatkan diri mempelajari bidang pengaturcaraan.

Selain itu, ada berpendapat, anak Melayu kurang berkecimpung dalam bidang teknologi maklumat kerana faktor kewangan.

Keupayaan memiliki komputer menjadi satu perkara yang amat sukar. Namun, fakta mendapati kebanyakan pengunjung setia pusat siber adalah remaja Melayu.

Mereka sanggup membayar untuk tujuan ‘chatting’ dan permainan interaktif. Ini membuktikan mereka bukanlah golongan naif mengenai teknologi, cuma kurang usaha mempelajari dan mendalami bidang IT.

Mereka takut meneroka perkara yang lebih berfaedah sehingga mampu menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan hingga ke tahap penyelidikan dan penghasilan teknologi itu sendiri.

Kita boleh mencontohi India. Walaupun mempunyai populasi penduduk miskin yang ramai, mereka mampu melahirkan ramai pakar IT yang diimport negara maju.

Hakikatnya, pelbagai usaha boleh dilakukan bagi melahirkan ramai pengaturcara di kalangan anak Melayu.

Penerangan perlu diberi terhadap kepentingan dan kegunaan komputer sebagai alat yang berpotensi dalam semua bidang dan tidak hanya dalam bidang sains komputer sahaja.

Masyarakat juga perlu diberi penerangan mengenai pengaturcaraan dan potensinya. Tidak mustahil suatu hari nanti peratus bilangan anak Melayu dalam bidang ini berada pada tahap membanggakan jika masalah ini dipandang serius dan diberi pendedahan meluas.

Pengaturcara Institut Generasi, Basok Aizan, berkata pihaknya menyedari hakikat itu dan terpanggil untuk membantu membimbing anak Melayu dalam bidang IT.

Malah, Institut Generasi merangka program bersesuaian untuk menarik minat pelajar Melayu mengikuti kursus ditawarkan.

Beliau berkata, setakat ini, program yang ditawarkan ialah Pengurusan Sistem Maklumat, ASP.Net, Teknologi Maklumat, Internet Marketing, VB.Net, SQL Database dan Rangkaian Komputer.

“Kami memberi jaminan kualiti terhadap program yang ditawarkan, malah di pantau NOSS (Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan) iaitu badan yang menyelia kualiti mutu mata pelajaran.

“Kemudahan makmal kami dilengkapi teknologi terkini iaitu menggunakan ‘Prosessor Dual Core’ dengan keupayaan hardisk yang tinggi.

“Ini membolehkan pembelajaran dijalankan dengan lancar,” katanya.

Menurutnya, antara lain kelebihan di institut itu ialah memberi ilmu kepada pelajar dalam latihan kemahiran yang mirip amalan kerja sebenar.

“Kami menyediakan jadual waktu kepada pelajar mengikut kesesuaian masing-masing sama ada secara sepenuh masa, separuh masa dan pendidikan jarak jauh (PJJ).

“Ini membolehkan pelajar dapat menguruskan jadual tanpa mengganggu aktiviti kerja mereka,” katanya

Bahasa Malaysia atau Melayu?





SAYA terpanggil untuk membangkitkan isu bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Penggunaan perkataan untuk bahasa ini sering kali tidak konsisten. Yang mana wajar digunakan untuk menggambarkan bahasa kebangsaan negara?
Sememangnya saya perlukan jawapan ini daripada pakar bahasa dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar dapat menjelaskan dengan sebaik mungkin penggunaan perkataan tepat untuk bahasa kebangsaan kita agar masyarakat dan negara luar tidak keliru dengan bahasa digunakan di Malaysia.
Isu bahasa Melayu atau bahasa Malaysia seingat saya pernah terjadi ketika bersekolah rendah dalam 1990-an. Mula-mulanya bahasa Melayu, selepas itu ditukarkan kepada bahasa Malaysia dan selepas itu digunakan kembali bahasa Melayu.
Namun, kini penggunaan nama bahasa Malaysia digunakan dengan meluas, sama ada oleh pemimpin atau masyarakat umum. Penggunaan bahasa Melayu hanya digunakan pakar bahasa dalam buku dan media cetak.
Saya antara orang yang belajar menggunakan bahasa Melayu dan belajar subjek bahasa Melayu sehingga Tingkatan Enam dan saya sememangnya sayangkan bahasa ini. Bahasa Melayu adalah bahasa yang wujud sejak sekian lama dan serumpun dengan bahasa Indonesia.
Penggunaan bahasa Melayu diiktiraf dunia dan bahasa Melayu juga menjadi kursus diajar di universiti luar negara. Jadi, mengapa kita bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejak sekian lama hendak menukarkan nama bahasa itu?
Dalam Perlembagaan juga tercatat bahawa bahasa kebangsaan bagi Malaysia ialah bahasa Melayu. Jadi, mengapa isu penggunaan nama untuk bahasa kebangsaan masih menjadi polemik sehingga kini?
Cuba lihat di Amerika Syarikat yang bahasa kebangsaannya ialah bahasa Inggeris, mengapa mereka tidak tukarkan bahasa Inggeris kepada bahasa Amerika sama dengan nama negara mereka? Inilah jawapan yang dapat saya berikan. Bahasa dipertuturkan bukanlah boleh ditukarkan sesuka hati namanya, kerana bahasa itu mempunyai sejarah dan susur galur sendiri. Bahasa mempunyai ciri-ciri yang membolehkan ia berdiri sebagai bahasa berkenaan.
Jadi, jika kita ada 1Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengapa hendak menukarkan nama bahasa yang berkembang pesat sehingga kini? Kita perlu berbangga menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bukan hanya megah mengatakan kita adalah 1Malaysia.
Saya berharap agar pihak kerajaan dan pakar bahasa Melayu dapat memberi keputusan wajar untuk penggunaan nama bahasa kebangsaan Malaysia agar tidak timbul kekeliruan untuk nama itu. Bahasa pembangun tamadun bangsa.

Saturday, September 5, 2009

Hikmah berdiam

Manusia berbicara setiap masa...Bicara yang baik akan membawa
keselamatan dan kebaikan kepada manusia... Jika bicara tidak mengikut
adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. ..Di dunia akan
dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti
hati org lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam
neraka Allah SWT...

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak
digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia... Sebaliknya
digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah... Oleh
itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan
perkataan yang sia-sia.


HIKMAH DIAM
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
6. Menutupi segala aib.

Hadis2 Rasullulah mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

* "Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah
silapnya.Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya.
dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama
baginya". ( RW ABU NAIM )

* "Barangsiapa yang beriman kepada Alah dan Hari Akhirat, maka
hendaklah ia berkata yang baik atau diam". ( RW BUKHARI & MUSLIM )

* "Barangsiapa diam maka ia terlepas dr bahaya".( RW AT-TARMIZI )

Madah Dari Hukama:

* BANYAK DIAM TIDAK SEMESTINYA BODOH,BANYAK CAKAP
TIDAK SEMESTINYA CERDIK, kerana KECERDIKAN ITU BUAH
FIKIRAN, org CERDIK yang PENDIAM LEBIH BAIK DR org BODOH
yang BANYAK CAKAP.

* MENASIHATI ORANG yang BERSALAH , TIDAK SALAH. YANG
SALAH MEMIKIRKAN KESALAHAN ORANG..

* KALAU org MENGHINA KITA, BUKAN KITA TERHINA, yang
SEBENARNYA org ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI.

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam.
Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap kearah
perkara2 yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan
bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.

Wednesday, September 2, 2009

Tragedi baju raya




Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

GUA MUSANG: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mencuba pakaian baru dibeli bapanya sempena Aidilfitri yang bakal tiba, bertukar tragedi menyayat hati apabila dia mati ditikam bapa saudara sendiri di Kampung Melayu di sini, semalam.

Mohd Adam Azrai Rosman, sedang asyik menunjukkan baju raya sambil menonton televisyen bersama nenek saudaranya di ruang tamu rumah keluarganya sebelum ditikam secara tiba-tiba oleh bapa saudaranya berusia 22 tahun dengan sebilah pisau di rusuk kanan menyebabkan mangsa terus rebah dan menjerit kesakitan.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika mangsa yang terlalu gembira mencuba pakaian rayanya didatangi suspek yang muncul dari dapur lalu terus menikam kanak-kanak itu menyebabkan badannya berlumuran darah.

Lebih menyedihkan, kejadian itu disaksikan sendiri nenek saudara mangsa, Norasma Che Daud, 29, yang juga pengasuh kanak-kanak berkenaan sebelum memeluknya yang meraung kesakitan akibat ditikam.

Dalam keadaan cemas itu, Norasma terus memangku cucu saudaranya itu ke depan rumah sebelum meminta bantuan orang ramai yang kebetulan melalui berhampiran rumah untuk membawa kanak-kanak berkenaan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, ajal menjemput kanak-kanak tidak berdosa itu apabila disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

Menurut Norasma, dia sama sekali tidak menyangka anak saudaranya yang dipercayai penagih dadah, tergamak melakukan perbuatan kejam berkenaan kerana hubungan mereka berdua baik.

Katanya, ketika kejadian, suspek yang demam berada di dapur manakala bapa mangsa, Rosman Mohd Noor, 41, sedang tidur tidak jauh dari tempat kejadian kerana sakit mata.

“Memang saya tak menduga perkara ini berlaku. Ketika itu saya bergurau dengan Mohd Adam sambil menonton televisyen dan mengacah mahu mengambil baju rayanya.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila suspek tiba-tiba datang dan mengeluarkan sebilah pisau sebelum menikam rusuk kanan Mohd Adam menyebabkannya luka parah,” katanya ketika ditemui di HGM di sini, semalam.

Sebelum kejadian, Norasma berkata mangsa begitu gembira sambil menunjuk dan mencuba beberapa pakaian baru dibeli bapanya Jumaat lalu, seolah-olah tidak sabar menyambut 1 Syawal.

“Beberapa hari selepas baju raya itu dibeli ayahnya, Mohd Adam sentiasa dilihat menarik perhatian keluarga dan pakaian itu diletakkan tidak jauh darinya selain menangis sekiranya diusik.

“Malah, beberapa minit sebelum kejadian, bapa saudaranya masih terus bergurau dengannya untuk mengambil pakaian berkenaan menyebabkan mangsa menangis,” katanya sambil menambah suspek tidak lari selepas kejadian berkenaan.

Sementara itu, Rosman ketika ditemui berkata, kejadian itu disedarinya sebaik terdengar riuh rendah dari luar rumah.

“Sebelum kejadian saya menonton televisyen bersama Mohd Adam dan melihat dia bergurau bersama beberapa bapa saudaranya yang mengusiknya.

“Kebetulan mata saya terlalu mengantuk sebelum terlelap tidak jauh dari tempat itu selepas mendapatkan rawatan di klinik,” katanya.


Menurutnya, dia yang meluru ke depan rumah terkejut sebaik melihat anak lelakinya itu berlumuran darah sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan.

Katanya, ketika kejadian, isterinya, Yusnisuhaila Yusoff, 36, ada bersama dan tidak menyedari kejadian itu sehingga menyebabkan wanita terbabit pengsan di rumah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana mahu menunggu hasil siasatan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menahan suspek berusia 22 tahun dipercayai penagih dadah di rumahnya, kira-kira dua jam selepas kejadian bagi membantu siasatan.

Tuesday, September 1, 2009

Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam
kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.

Sunday, August 30, 2009

Graduan miskin dibantu bayar pinjaman PTPTN

PUTRAJAYA 28 Ogos - Graduan cemerlang Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari keluarga miskin akan dibantu untuk membayar balik sebahagian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka melalui skim dermasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka yang mendapat ijazah kelas pertama dan aktif dalam kegiatan kokurikulum akan dinilai melalui kriteria keluarga berpendapatan rendah dan jumlah adik beradik yang ramai.

''Kita akan membuat perbandingan antara mereka yang cemerlang mengikut garis panduan kemiskinan dalam negara iaitu mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai adik beradik yang ramai.

''Wang biasiswa tersebut akan terus dimasukkan dalam tabung PTPTN bagi membayar balik sebahagian daripada pinjaman yang diperoleh," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan menyampaikan biasiswa YTAR kepada lima penerima baru di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi YTAR berkata, biasiswa YTAR diberikan kepada pelajar cemerlang tahun pertama dalam program ijazah sarjana muda IPTA dan aktif dalam kokurikulum.

''Bagi tahun ini, seramai 17 calon telah layak menerima biasiswa ini daripada 662 permohonan yang memenuhi syarat.

''Amaun biasiswa ini meliputi semua yuran yang dikenakan oleh universiti serta elaun sara hidup sebanyak RM1,000, elaun buku RM500 setiap semester serta penerbangan pergi balik sekali setahun bagi penerima dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pada tahun ini seramai 1,040 pelajar IPTA dan swasta termasuk politeknik dan kolej komuniti dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan.

Mohamed Khaled berkata, seramai 133 pelajar turut diberikan biasiswa pelajar cemerlang pada tahun ini dalam tumpuan untuk mengisi keperluan sumber tenaga akademik di IPTA pada masa hadapan.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah pensyarah yang mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD) di IPTA telah meningkat sebanyak 20.8 peratus iaitu seramai 8,132 berbanding 6,438 pensyarah itu tahun lalu.

''Jumlah ini merupakan 36.14 peratus daripada jumlah keseluruhan 22,501 pensyarah di IPTA termasuk 1,261 tenaga pelajar dari luar negara.