Monday, November 16, 2009

Punah angkara adik

Oleh NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Baru berusia 14 tahun tetapi selayaknya dia digelar ‘adik setan’ kerana tergamak merogol kakak kandungnya yang hanya setahun lebih tua.

Lebih memilukan, perbuatan jijik sumbang mahram itu bukan hanya menimbulkan perasaan trauma dan tekanan kepada mangsa tetapi pada usia yang masih mentah, dia terpaksa mengusung ‘benih’ adiknya.

Itu yang berlaku kepada Yanti, berusia 15 tahun, yang kini sarat mengandung dan hanya menanti masa untuk melahirkan anak.

Gara-gara perbuatan adik setan itu, Yanti terpaksa berjauhan daripada keluarga, malah meninggalkan alam persekolahan buat seketika.

Sepatutnya saya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan lalu tetapi terpaksa melupakannya. Saya meninggalkan buat seketika alam persekolahan sehingga anak dikandung ini lahir.

“Saya benar-benar tertekan kerana pada usia muda terpaksa berdepan situasi yang tidak sepatutnya saya lalui,” kata Yanti ketika ditemui wartawan Metro Ahad baru-baru ini.

Menurut Yanti, tragedi hitam itu berlaku tahun lalu dan ia berulang sehingga empat kali sebelum dia disahkan mengandung.

“Tragedi hitam itu berlaku di rumah. Ketika semua ahli keluarga tidur, adik menyusup masuk ke dalam bilik ketika saya tidur.

“Adik menekup mulut saya dan mengugut mahu mencederakan saya jika saya buat bising. Selepas itu, bagaikan dirasuk setan, saya dirogol,” katanya.

Yanti berkata, walaupun dia kakak, dia tidak mampu melawan, apatah lagi diugut akan dicederakan jika melawan.

“Kudrat saya memang tidak mampu melawan kekuatan adik ketika itu. Selepas merogol saya dia sekali lagi mengugut akan mencederakan saya, malah sanggup melakukan lebih daripada itu jika mendedahkan perbuatan terkutuknya kepada sesiapa saja, terutama ayah dan ibu.

“Begitulah yang dilakukannya ketika merogol saya. Seingat saya, empat kali dia merogol saya,” katanya.

Selepas empat kali dirogol, dia berasa tidak sihat dan lemah hinggalah kelainan pada dirinya disedari ibu bapanya.

Ibu Yanti kemudian membawanya ke klinik dan pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati dia mengandung.

“Saya menceritakan perkara sebenar kepada ibu. Pulang ke rumah, ayah dan ibu bertanya adik dan dia mengaku. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun takkan mengubah apa yang berlaku,” katanya.

Yanti berkata, adiknya seperti tiada perasaan kerana seolah-olah tidak rasa bersalah dengan perbuatannya.

“Depan ibu dan ayah, dia menunjukkan rasa bersalah dan meminta maaf, tetapi dengan saya, dia buat seolah-olah tiada apa berlaku.

“Hubungan saya dengan dia sebelum ini biasa saja, tetapi tidaklah rapat sangat. Mungkin kerana masih terlalu mentah, dia seperti tidak rasa bersalah,” katanya.

Menurut Yanti, sukar untuk dia memberitahu punca mengapa adiknya sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Pada usia semuda itu, adik memang nakal. Bercampur dengan mat rempit dan kadangkala ponteng sekolah.

“Barangkali kerana pengaruh rakan, adik jadi ‘lebih tahu’ mengenai hal berkaitan seks sehingga dia terdorong untuk mencuba. Namun saya langsung tidak menyangka adik sanggup merogol saya,” katanya.

Yanti memberitahu, selepas disahkan hamil, ibu bapa terpaksa ‘menyembunyikannya’ di rumah seorang saudara mereka sebelum dihantar ke sebuah rumah perlindungan.

“Saya akan ada di sini (rumah perlindungan) sehingga bayi yang dikandung lahir. Selepas itu saya akan menyerahkan anak saya kepada keluarga angkat.

“Selepas ini saya mahu mulakan hidup baru. Saya mahu bersekolah semula dan belajar seperti rakan seusia yang lain,” katanya.

Ditanya adakah dia memaafkan perbuatan adiknya, Yanti berkata: “Mulanya memang saya bencikannya, tetapi lama kelamaan saya terima hakikat. Dia bukan orang lain... dia adik saya.

“Saya harap dia menyesali perbuatannya. Perkhabaran terkini yang saya dengar daripada ibu dan ayah, adik kini bersekolah di sekolah pondok. Semoga ilmu diperoleh menjadikannya adik yang soleh,” katanya.


Thursday, November 12, 2009

Peminjam PTPTN sebelum 2002 boleh bayar melalui KWSP?

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum 2002 mungkin dibenarkan membayar balik pinjaman menggunakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya akan berbincang dengan PTPTN bagi mengenal pasti bentuk pengiraan bayaran balik jika langkah itu ingin dilaksanakan.

"Cadangan supaya dianjakkan kepada para peminjam dari tahun 2001 ke belakang adalah munasabah tetapi saya perlu kemuka dan bincangkan perkara ini secara teliti dengan PTPTN.

"Tetapi kita biasanya di kementerian sangat responsif terhadap cadangan terutamanya yang datang daripada para pelajar," katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan banyak pihak supaya PTPTN turut membenarkan peminjam dari tahun 2001 dan sebelumnya membayar pinjaman mereka menggunakan KWSP.

Buat masa ini PTPTN hanya membenarkan peminjam bermula tahun 2002 membayar pinjaman mereka menggunakan KWSP.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya juga perlu berbincang dengan KWSP bagi mengenal pasti alasan PTPTN hanya membenarkan peminjam mulai 2002 menikmati kemudahan tersebut.

"Saya terbuka dalam hal ini. Kita sebenarnya sangat berterima kasih kepada KWSP kerana mereka sanggup memainkan peranan untuk membantu pembayaran balik PTPTN. Itu bantuan yang sangat besar," katanya.

Menurutnya, setiap keputusan yang dicapai kelak harus memastikan proses pembayaran balik pinjaman lancar dan pada masa yang sama tidak terlalu keras terhadap para peminjam.

Ditanya langkah kementerian dan PTPTN menangani masalah defisit tabung pinjaman itu ekoran kelembapan pembayaran balik wang pinjaman, Saifuddin berkata, pihaknya tidak mempunyai banyak pilihan.

"Buat masa ini, kita selesa dengan pendekatan sedia ada seperti menghalang mereka yang liat membayar daripada ke luar negara. Ia kelihatan memberi kesan yang agak positif.

Campak anak dalam perigi

Oleh Zaid Salim dan Rohaya Bu-za
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan nyaris bersemadi dalam sebuah perigi selepas dicampakkan ibu kandungnya sendiri ke dalam telaga berkenaan berhampiran rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, Batu Enam di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, ajal belum menjemput bayi berkenaan apabila dia tidak tenggelam dalam perigi berisi air sedalam enam meter berkenaan, sebaliknya terapung di permukaan sambil bertarung dengan maut sejurus dibuang kira-kira jam 5 petang.

Malah, keajaiban Tuhan terhadap bayi yang tidak berdosa itu menyelamatkannya apabila dia sempat diselamatkan datuknya, Raja Ibrahim Raja Ali, 64, yang menyedari perbuatan ibu berusia 26 tahun itu.

Terkejut dengan perbuatan anak perempuannya, warga emas berkenaan yang tidak sanggup melihat cucu keempatnya terkapai-kapai dalam perigi, nekad turun ke dalam telaga berkenaan dengan hanya berpaut pada dindingnya.Tindakan itu diambil kerana warga emas berkenaan tidak sanggup melihat bayi tidak berdosa itu terkapai-kapai dalam perigi walaupun menyedari tindakannya itu membahayakan diri jika pautan pada dinding perigi berkenaan terlepas.

Nenek bayi berkenaan, Hasnah Mat Ali, 50, berkata sebelum kejadian, wanita berkenaan yang juga anak angkatnya yang tinggal di rumah sewa berhampiran memberitahu dia geram melihat bayi berkenaan.

Katanya, bimbang kejadian tidak diingini berlaku selepas anaknya yang menghidap penyakit meroyan itu melakukan sesuatu terhadap cucunya, dia cuba menenangkan perasaan wanita berkenaan dan menyuruhnya bersabar.

Bagaimanapun, kebimbangan warga emas itu menjadi kenyataan apabila anaknya yang menghadapi tekanan perasaan mencampakkan bayinya ke dalam perigi berkenaan.

“Mujur saya sedar dan segera mengejutkan suami yang ketika itu sedang tidur. Tanpa berlengah, suami turun ke dalam perigi dengan berpaut pada dinding sebelum mencapai bayi berkenaan yang terapung di permukaan air yang jaraknya lebih satu meter dari muka perigi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Sementara itu, sumber polis berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada datuk bayi berkenaan jam 5 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika diselamatkan, muka bayi berkenaan yang hanya memakai lampin pakai buang kebiru-biruan dipercayai kesejukan selepas dibuang ke dalam perigi berkenaan.

“Bagaimanapun, bayi berkenaan sihat dan polis segera mengarahkannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Siasatan awal polis mendapati wanita berkenaan bertindak demikian kerana dipercayai menghadapi tekanan perasaan dan meroyan selepas melahirkan anak ketiga.

Katanya, ketika kejadian, wanita berkenaan turut mengakui tidak menyedari perbuatannya mencampakkan bayinya ke dalam perigi berkenaan.

“Ketika kejadian suami wanita itu tiada di rumah kerana bertugas di sebuah kilang di Kuantan dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.


Monday, November 9, 2009

Utara: Berbogel kena cekup

Oleh Fauzi Rahim Mustafa
bhnews@bharian.com.my


PAKAIAN sukan, seragam sekolah ditemui di rumah kosong di Taman Semarak Fasa I.

Rumah kosong markas lampias nafsu pelajar ponteng

SUNGAI PETANI: Sebuah rumah berkembar di Taman Semarak Fasa I yang dipercayai kosong sejak lebih lima tahun lalu kini dipercayai dijadikan markas pasangan kekasih melampiaskan nafsu selain 'port' remaja melakukan kegiatan tidak bermoral.

Kedudukan rumah kosong yang agak tersorok itu menyebabkan rumah setingkat itu dijadikan 'sarang maksiat' oleh golongan kemaruk seks selain tempat penagih dadah serta penghidu gam melepaskan gian.

Rumah kosong yang dipenuhi semak menjadi lokasi popular sebahagian pelajar sekolah menengah berdekatan taman berkenaan ponteng sekolah, menghisap rokok dan minum arak.

Tinjauan Berita Harian mendapati, ruang tamu di dalam rumah itu bersepah dengan sisa bungkusan makanan, nota pelajaran dan beberapa pasang selipar yang sudah rosak.

Di dalam ketiga-tiga bilik rumah itu pula berselerak dengan seluar dalam lelaki dan wanita yang ditinggalkan, selain beberapa helai seluar sukan dan baju sekolah tanpa lencana sekolah.

SELUAR dalam dan tuala dipercayai milik pelajar ponteng.

Beberapa botol minuman keras pelbagai jenama pula ditemui di bahagian dapur rumah berkenaan berserta beberapa batang lilin yang sudah digunakan.

Penduduk, Annuar Ishak, 39, berkata beliau pernah menyerbu rumah itu baru-baru ini dan menemui sepasang kekasih dipercayai pelajar dari sebuah sekolah menengah di sini dalam keadaan berbogel dipercayai hendak melakukan seks haram.

"Saya percaya pasangan pelajar itu membuat temu janji sebelum menjadikan rumah kosong itu sebagai lokasi memuaskan nafsu.

"Mujur secara kebetulan saya ternampak mereka tergesa-gesa memasuki rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak memeriksa lebih lanjut bersama seorang rakan," katanya.

Annuar berkata, dia dan rakannya tiba tepat pada waktunya kerana ketika menerpa di dalam bilik rumah berkenaan kedua-dua pelajar itu sudah pun berbogel sebelum mengarahkan mereka berpakaian semula.

Annuar berkata, dia percaya sebelum ini ramai lagi remaja melakukan maksiat di situ berdasarkan keadaan rumah yang dipenuhi pakaian dalam lelaki dan wanita termasuk seragam sekolah dibiarkan berselerak di dalam bilik rumah berkenaan.

"Ramai penduduk menggesa pemilik rumah itu membersihkan persekitarannya kerana dikhuatiri akan terus dijadikan lokasi melakukan kegiatan tidak berakhlak.

"Selagi rumah kosong itu tidak diurus oleh pemiliknya, selagi itulah kegiatan tidak bermoral akan terus berlaku di situ kecuali pihak berkuasa tempatan mengambil langkah drastik menanganinya," katanya.

Ibu hati iblis

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
MALANG... Nurhidayah menahan kesakitan akibat didera ibu tirinya.
MALANG... Nurhidayah menahan kesakitan akibat didera ibu tirinya.

DUNGUN: Seorang wanita berhati iblis bukan saja tergamak mendera anak perempuan tirinya, Nurhidayah Abdul Wahab, 4, malah pernah mencampak anak kandungnya sendiri yang baru berusia sembilan bulan ke dalam kolam ikan berhampiran rumahnya.

Bagaimanapun, bayi lelaki malang yang hampir lemas dalam kolam ikan sedalam tiga meter itu diselamatkan bapanya, Abdul Wahab Mahusin, 39, di rumah mereka di Kampung Sura Hujung di sini, dalam kejadian sebelum Ramadan lalu.

Perbuatan kejam wanita berusia 21 tahun itu sekali lagi terbongkar Ahad lalu selepas datuk kanak-kanak perempuan terbabit menemui seorang bomoh patah di Kampung Seberang Pintasan sebaik mendapati cucu yang tinggal bersama ibu tirinya itu tidak berhenti menangis selain mengadu sakit di bahu kanan.

Abdul Wahab yang mendedahkan perangai wanita itu yang juga isteri keduanya berkata, tindakan wanita itu tidak ubah seperti binatang kerana langsung tidak memiliki perasaan terhadap kanak-kanak terbabit yang mengharapkan kasih sayang daripadanya.

Menurutnya, disebabkan sering didera ibu tirinya, anaknya kini trauma dan hidup dalam ketakutan apabila bersama wanita itu.
“Anak saya boleh mati jika terus tinggal dengannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, semalam.

Dia yang bekerja sebagai nelayan, berkata sebelum kejadian, dia keluar membeli sarapan di kedai berhampiran rumahnya jam 8 pagi.

“Sebaik pulang ke rumah, saya dapati anak saya berada dalam keadaan kesedihan dan mengadu sakit di bahu selain memberitahu tangannya tersepit pada pintu.

“Ketika itu, saya percaya tangan anak saya tidak tersepit pada pintu kerana tidak terdapat kesan dan keluar ke laut selepas menyediakan sarapan.

“Bagaimanapun, sebaik pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang, saya terkejut apabila mendapati lengannya bengkak dan mengesyaki ia perbuatan ibu tirinya, menyebabkan saya segera meminta bantuan bapa yang tinggal berjiran membawa anak bertemu bomoh patah,” katanya.

Menurutnya, tindakan wanita yang dinikahi selepas bercerai dengan isteri pertama itu bukan kali pertama kerana sebelum ini wanita yang dikahwini sejak tiga tahun lalu itu pernah menggigit badan anaknya termasuk memijak tubuh kanak-kanak berkenaan dan semua perlakuan itu berlaku ketika dia tiada di rumah.

“Isteri saya berubah sikap selepas melahirkan anak lelaki kami yang kini berusia sembilan bulan dan tidak tahu kenapa dia bersikap demikian.

“Pada mulanya saya menyangkakan dia mungkin tidak menyayangi anak tiri, namun telahan saya meleset apabila perlakuan sama turut dilakukan kepada anak kandung sendiri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Dungun, kira-kira jam 10 pagi, Isnin lalu.

Abdul Wahab berkata, akibat tidak tahan dengan sikap isterinya itu yang didakwa tidak memiliki perasaan kasih sayang terhadap anak-anak, dia pernah menceraikan wanita berkenaan pada Ogos lalu sebelum merujuknya semula seminggu kemudian.

“Namun, dengan kejadian terbaru ini, saya nekad tidak akan bersamanya lagi dan kini kami dalam proses bercerai,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan sebaik menerima laporan perubatan daripada HSNZ.

Friday, November 6, 2009

Pindaan Akta Dewan Bahasa

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 diharap dapat memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menangani penggunaan 'bahasa rojak' di kalangan masyarakat negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kuasa itu bukan untuk menghukum sebaliknya lebih kepada memberi pendidikan.

Justeru katanya, penerangan perlu dibuat kepada pihak-pihak yang sangsi terhadap usaha berkenaan agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Sebagai contoh, penggunaan 'bahasa rojak' kini semakin menggerunkan kita. Saya semakin risau dengan masalah ini terutama terhadap masalah penggunaan bahasa Melayu yang semakin parah di dalam masyarakat.

"Mungkin kerana perkembangan teknologi yang pesat, modenisasi, sikap dan faktor globalisasi, DBP dilihat sukar untuk menangani cabaran-cabaran bahasa Melayu kini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Kualiti DBP 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaffar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Mohd. Puad memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa draf pindaan Akta DBP 1959 sedang disemak oleh penasihat undang-undang kementerian itu dan dijangka akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentang ke Parlimen pada tahun depan.

"Jika sebelum ini DBP tidak berpeluang untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat, dengan pindaan ini diharapkan keadaan tersebut akan berubah,'' ujarnya.

Katanya, salah satu aspek berkenaan adalah dari segi penggunaan bahasa Melayu pada papan-papan tanda.

Beliau mencadangkan salah satu usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu adalah perbincangan secara berterusan antara DBP dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung hal itu.

"Bahasa Melayu amat penting dalam menjayakan gagasan 1Malaysia kerana melalui bahasa semua kaum di negara ini dapat disatukan," tambahnya.

Kaunselor berdaftar kurang

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Bilangan siswazah dalam bidang kaunseling yang berdaftar dan benar- benar mengamalkan profesion itu masih tidak mencukupi berbanding jumlah yang diperlukan negara pada masa ini iaitu seramai 60,000 orang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kira-kira 2,000 siswazah yang menamatkan pengajian di dalam bidang itu tidak memasuki alam pekerjaan selari dengan kelulusan mereka di institut pengajian tinggi (IPT).

''Disebabkan itu, negara masih kekurangan kaunselor yang berdaftar. Kita masih perlukan kira-kira 60,000 kaunselor berdaftar di pelbagai peringkat termasuk IPT, kerajaan dan swasta,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Kebangsaan Kaunseling 2009 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Persatuan Kaunseling Malaysia (Pekama) di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi sedang mengkaji aspek-aspek penting dalam bidang tersebut terutama dari segi kokurikulum untuk melihat kesesuaiannya dengan bidang pekerjaan.

Katanya, sehingga kini hanya terdapat 1,865 orang kaunselor berdaftar di seluruh negara yang bertugas di sektor kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akademik dan swasta.

Terdahulu semasa berucap, Mohamed Khaled berkata, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling merupakan sektor penting dalam proses perkembangan dan kesihatan mental masyarakat.

''Ini terutama ketika masyarakat di negara ini mengharungi pelbagai bentuk cabaran kehidupan,'' katanya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 12 IPTA yang menawarkan program kaunseling dengan melahirkan 2,000 siswazah dalam bidang itu setiap tahun.

Tumpu tingkat kualiti guru

SUBANG JAYA 3 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu projek pembinaan infrastruktur pendidikan termasuk sekolah pada masa depan dilaksanakan dengan perbelanjaan sederhana supaya lebih banyak peruntukan dapat disalurkan untuk meningkatkan kualiti guru.

Timbalan Perdana Menteri berkata, infrastruktur fizikal yang tersergam indah tidak penting kerana yang akan memberi manfaat kepada para murid dan pelajar adalah apabila mereka mendapat guru yang benar-benar berkualiti.

Katanya, sehubungan itu tumpuan harus diberikan kepada aspek latihan guru agar keupayaan dan kepimpinan mereka dapat ditingkatkan seterusnya membantu usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan negara.

‘‘Dari segi infrastruktur, kita tak perlu buat bangunan tersergam indah yang libatkan belanja besar yang boleh kita jimat.

‘‘Kalau kita boleh potong kosnya 10 ke 20 peratus daripada kos sebenar dengan keadaan pelan sederhana tetapi kualiti guru yang baik, maka yang untungnya pelajar dapat guru yang baik walaupun bangunan tak tersergam indah sangat.

‘‘Itu saya fikir tak harus jadi perhatian. Kita nak tumpukan kualiti pembelajaran dan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10),’’ katanya yang juga Menteri Pelajaran pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembangunan Pendidikan RMK-10 di sini hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau telah meminta pegawai kanan di Kementerian Pelajaran membuat perancangan teliti supaya setiap pembangunan fizikal yang dilakukan mengikut keperluan sebenar.

Katanya, ini supaya tidak berbangkit lagi masalah-masalah sebelum ini seperti asrama kecil sedangkan bangunan sekolah dibina untuk menampung jumlah pelajar yang ramai.

‘‘Kita telah bangunkan projek yang lebih daripada diperlukan jadi perbelanjaan itu suatu pembaziran.

‘‘Apa yang perlu dibuat sekarang adalah kita akan tambah lagi bangunan asrama supaya sekolah itu mempunyai pelajar yang cukup agar tiada lagi berlaku kes di bawah kapasiti pengambilan,’’ ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin mahu perancangan pembangunan pendidikan yang hendak dilakukan dibuat secara cermat dan teliti untuk mengelakkan pembaziran wang negara.

Katanya, perancangan mengenai saiz sekolah, kelas, nisbah guru dan kelas, kemudahan pembelajaran, pembinaan asrama berpusat, hinggalah soal jangka masa, bentuk dan kandungan program latihan bagi guru perlu diteliti dengan baik.

‘‘Bagi menjayakan segala dasar dan pelan pendidikan yang dirancang, seluruh warga kementerian perlu mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan memperkukuhkan semangat kerja berpasukan,’’ ujarnya.

Thursday, November 5, 2009

Diskaun PTPTN pada pemegang ijazah kelas dua atas


KERATAN Kosmo! keluaran semalam.


KUALA LUMPUR - Pelajar yang memperoleh keputusan ijazah kelas dua atas mungkin diberikan diskaun amaun pembayaran balik pinjaman pelajaran yang diperoleh daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, cadangan itu kini dalam pertimbangan kementeriannya atas dasar ia boleh memberi kesan positif daripada segi pembayaran balik pinjaman.

"Saya rasa diskaun itu boleh menggalakkan lebih ramai pelajar mendapat keputusan cemerlang termasuk ijazah kelas dua atas,'' ujarnya di sini semalam tanpa mahu mengulas kadar diskaun yang mungkin diberikan.