Sunday, August 30, 2009

Graduan miskin dibantu bayar pinjaman PTPTN

PUTRAJAYA 28 Ogos - Graduan cemerlang Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari keluarga miskin akan dibantu untuk membayar balik sebahagian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka melalui skim dermasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka yang mendapat ijazah kelas pertama dan aktif dalam kegiatan kokurikulum akan dinilai melalui kriteria keluarga berpendapatan rendah dan jumlah adik beradik yang ramai.

''Kita akan membuat perbandingan antara mereka yang cemerlang mengikut garis panduan kemiskinan dalam negara iaitu mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai adik beradik yang ramai.

''Wang biasiswa tersebut akan terus dimasukkan dalam tabung PTPTN bagi membayar balik sebahagian daripada pinjaman yang diperoleh," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan menyampaikan biasiswa YTAR kepada lima penerima baru di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi YTAR berkata, biasiswa YTAR diberikan kepada pelajar cemerlang tahun pertama dalam program ijazah sarjana muda IPTA dan aktif dalam kokurikulum.

''Bagi tahun ini, seramai 17 calon telah layak menerima biasiswa ini daripada 662 permohonan yang memenuhi syarat.

''Amaun biasiswa ini meliputi semua yuran yang dikenakan oleh universiti serta elaun sara hidup sebanyak RM1,000, elaun buku RM500 setiap semester serta penerbangan pergi balik sekali setahun bagi penerima dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pada tahun ini seramai 1,040 pelajar IPTA dan swasta termasuk politeknik dan kolej komuniti dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan.

Mohamed Khaled berkata, seramai 133 pelajar turut diberikan biasiswa pelajar cemerlang pada tahun ini dalam tumpuan untuk mengisi keperluan sumber tenaga akademik di IPTA pada masa hadapan.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah pensyarah yang mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD) di IPTA telah meningkat sebanyak 20.8 peratus iaitu seramai 8,132 berbanding 6,438 pensyarah itu tahun lalu.

''Jumlah ini merupakan 36.14 peratus daripada jumlah keseluruhan 22,501 pensyarah di IPTA termasuk 1,261 tenaga pelajar dari luar negara.

Pelajar lebih minat pembelajaran guna komputer

PELAJAR didapati menunjukkan minat yang mendalam terhadap pelajaran jika guru mengajar menggunakan komputer.

Minat yang ditunjukkan itu bukan sahaja oleh pelajar sains tetapi meliputi pelajar sastera.

Pensyarah Jabatan Kurikulum Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Saedah Siraj berkata, kajiannya turut mendapati selain komputer, pelajar juga menunjukkan minat jika pembelajaran dilakukan menerusi lawatan dan permainan.

Menurut Saedah, kajian itu dilakukan terhadap pelajar tingkatan empat di empat buah sekolah di Kedah yang meliputi 242 pelajar pelbagai kaum.

Namun begitu cara tersebut tidak menolak sepenuhnya teknik pengajaran konvensional iaitu secara syarahan atau kuliah dalam bilik darjah.

``Majoriti pelajar juga masih mahu pendekatan syarahan dilaksanakan walaupun terdapat teknik pengajaran baru,'' katanya.

Teknik sedemikian lebih tertumpu kepada pelajar-pelajar aliran sastera berbanding aliran sains.

Hasil kajian juga mendapati hampir 50 peratus pelajar kedua-dua aliran tidak menyukai teknik pengajaran yang memerlukan mereka memainkan peranan masing.

``Antara peranan yang dimaksudkan ialah mereka tidak suka disuruh, ditanya atau bangun memberi pandangan atau melibatkan diri dalam pengajaran,'' katanya.

Sikap sedemikian menurut Saedah, menyukarkan guru untuk mencungkil kreativiti dan inovasi seseorang pelajar.

Namun yang menarik dalam kajian tersebut ialah, terdapat sekumpulan pelajar yang tidak menyukai kesemua teknik yang dilampirkan dalam kajian.

Terdapat beberapa teknik yang disenaraikan dalam kajian berkenaan antaranya teknik syarahan/kuliah, berbantukan komputer,lawatan perbincangan kelas, demonstrasi, sumbang saran, kumpulan kecil, main peranan, berpasangan dan permainan.

``Kumpulan kecil yang mewakili kira-kira lapan peratus daripada responden ini walaupun kecil tetapi memerlukan kajian mengenai sikap mereka,'' katanya.

Mereka mungkin terdiri daripada sekumpulan pelajar yang tidak tahu apa yang mereka belajar justeru guru perlu mengambil pertimbangan untuk memberi perhatian terhadap kumpulan tersebut.

``Ini memerlukan kreativiti guru bagi menarik mereka untuk belajar,'' katanya.

Menurut Saedah, walau apa juga teknik pengajaran yang dilakukan oleh guru, para pelajar masih memerlukan bantuan guru dalam pelajaran.

``Ini bukan sahaja meliputi pelajar dari sekolah yang tidak cemerlang dalam akademik tetapi juga pelajar cemerlang seperti di sekolah asrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),'' katanya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, hasil kajian itu memerlukan guru-guru mengambil kira minat pelajar terhadap teknik pengajaran yang sesuai dengan pelajar itu termasuk aliran pelajar berkenaan.

``Kadang-kadang guru diberi teknik pengajaran yang baru tetapi tidak mengambil kira pandangan pelajar iaitu pelanggan utama dalam sistem pendidikan kita,'' katanya.

Malah guru-guru juga harus bertanya sama ada mereka mampu untuk melaksanakan teknik baru itu.

LAGU-LAGU RAKYAT SELURUH MALAYSIA




Pengenalan

Projek Rakaman Lagu Rakyat yang dilaksanakan oleh Bahagian Kesusasteraan Tradisional, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka membuahkan hasil yang begitu lumayan kepada seluruh warga manusia terutama khalayak yang mencintai dunia kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Melayu.

Projek yang bermula pada tahun 2000 ini, mengambil langkah yang proaktif dalam menyelidik dan mengumpulkan hampir keseluruhan lagu rakyat di seluruh negara. Lagu rakyat dalam laman web Dewan Bahasa dan Pustaka adalah bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada khalayak yang mencintai dunia kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Melayu dalam mengenali lagu-lagu rakyat yang masih kekal bertahan hingga ke hari ini.

Lagu-lagu rakyat adalah warisan bangsa yang perlu dipertahankan. Pada hari ini, lagu-lagu rakyat semakin dilupakan. Tidak mengejutkan satu hari nanti, lagu-lagu rakyat hanya akan tinggal sebagai sejarah sahaja jika tiada usaha untuk menghidupkan dan mempopularkan kembali lagu-lagu tersebut. Ini kerana lagu-lagu rakyat bukan sekadar menghibur tetapi ianya banyak mengandungi unsur-unsur didikan secara tidak langsung. Ini jelas dapat dilihat dalam seni kata lagu-lagunya. Usaha yang dijalankan oleh Bahagian Kesusasteraan Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka adalah dengan tujuan untuk memelihara kesenian berkenaan agar tidak terhapus begitu sahaja. Tujuan penyelidikan dan rakaman ini adalah untuk melahirkan satu buku bergambar koleksi lagu-lagu rakyat yang melambangkan kekayaan pemikiran dan seni budaya bangsa Melayu.

Maklumat lagu rakyat dalam laman web ini memuatkan hampir keseluruhan lagu rakyat bagi kesemua negeri di Malaysia dan akan dimulakan dengan Perlis, Kedah dan lain-lain negeri hinggalah Sarawak dan Sabah. Namun, maklumat yang dipaparkan dalam laman web ini hanyalah ringkasan dan petikan daripada projek yang dilaksanakan bertujuan sebagai pengenalan kepada naskhah lengkap lagu-lagu rakyat seluruh Malaysia yang akan diterbitkan dan dipasarkan ke seluruh negara kelak.

Lagu-lagu Rakyat Perlis

Projek Rakaman Lagu-Lagu Rakyat Perlis telah digerakkan oleh Bahagian Kesusasteraan Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 24 hingga 29 Julai 2000. Antara lagu-lagu rakyat Perlis yang masih kedapatan ialah Hadrah, Berendoi, Beduan, dan Canggung. Keempat-empat bentuk lagu rakyat ini adalah antara bentuk lagu rakyat yang popular pada suatu ketika dahulu. Tiap-tiap satunya mempunyai fungsi atau peranan yang tertentu dalam masyarakat.

Lagu-lagu Rakyat Kedah

Projek Rakaman Lagu-Lagu Rakyat Kedah dilaksanakan oleh Bahagian Kesusasteraan Tradisional pada 6 hingga 17 November 2000. Lagu-lagu rakyatnya dipersembahkan secara individu dan juga berkumpulan.

Tema lagu-lagunya berunsur didikan berkait rapat dengan persembahan keagamaan, misalnya lagu-lagu dalam Berendoi, Burdah, Berzanji, Seloka, Mek Mulung dan juga Berdikir. Unsur-unsur nasihat juga dapat dikesan dalam lagu-lagu rakyat yang dinyanyikan dalam bentuk persembahan individu seperti dalang Wayang Kulit. Lagu-lagu lain seperti lagu Hadrah dan juga Ghazal Pati adalah lebih bertumpu kepada aspek hiburan semata-mata.

Friday, August 28, 2009

Terjemahkan buku saintifik ke BM

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD dan MOHD. NOR FITRI AFFENDI MUSTAFA
pengarang @utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid menyarankan agar bahan bacaan saintifik di negara ini diterjemahkan ke bahasa Melayu (BM) bagi meningkatkan penguasaan ilmu di kalangan rakyat dalam bidang tersebut.

Katanya, negara maju seperti Jepun telah lama menggunakan bahasa ibundanya dalam setiap bidang saintifik.

Katanya, jika dibandingkan dengan pelbagai bahan bacaan ilmiah lain, bidang saintifik masih kurang di dalam bahasa Melayu.

''Terjemahan itu membolehkan kita lebih memahami dan menguasai bidang tersebut secara menyeluruh,'' katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pilihan Pembaca 2009 anjuran Popular Book Co. (M) Sdn. Bhd. di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Popular Holding Limited, Vangat Ramayah.

Tambah Ungku Aziz, selain dapat menguasai bidang berkenaan sepenuhnya, bahasa Melayu juga boleh dimartabatkan setaraf dengan bahasa asing lain.

''Saya berharap agar anugerah ini ditambah satu lagi kategori khusus kepada bidang saintifik agar dapat memupuk minat membaca di kalangan orang ramai terhadap bidang tersebut,'' katanya.

Anugerah berkenaan diadakan sempena Pesta Buku Malaysia 2009 yang berlangsung selama sembilan hari sehingga 31 Ogos ini.

Ia dianjurkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang masing-masing dibahagikan kepada kategori buku fiksyen dan bukan fiksyen.

Antara buku yang menerima anugerah utama adalah Dr. Mahathir Selected Letters To World Leaders tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdullah Ahmad serta Lovers and Strangers Revisited tulisan Robert Raymer bagi kategori bahasa Inggeris.

Bagi kategori bahasa Melayu, buku Andai Itu Takdirnya karya Siti Rosmizah dan Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif tulisan Dr. Tengku Asmadi terpilih menerima anugerah.

Thursday, August 27, 2009

Sel otak wanita kurang apabila putus cinta

Sel otak wanita kurang apabila putus cinta

Oleh : Zamri

LONDON: Kesedihan yang dialami wanita akibat putus cinta boleh mengubah kegiatan sel otak mereka, menurut satu laporan baru yang disiarkan akhbar The Telegraph.

Laporan oleh saintis Amerika mendapati kekecewaan yang dirasakan wanita selepas berakhirnya hubungan romantik dengan pasangan masing-masing boleh memberi kesan kepada otak dengan cara tersendiri dan tidak dapat dikesan oleh pengimbas otak.

Kajian mendakwa wanita yang selalunya kecewa apabila putusnya hubungan cinta menunjukkan penurunan mendadak dalam aktiviti sel otak dalam bahagian otak yang mempunyai kaitan dengan emosi, motivasi dan perhatian.

Dr Ajif Narib, yang mengetuai pasukan penyelidik di Universiti Perubatan Carolina Selatan, berkata: “Gejala kemurungan seperti mood yang tidak baik, hilang motivasi dan selera makan ialah perkara biasa yang dialami berikutan putus cinta atau kematian orang tersayang.

“Bagaimanapun, perkara paling penting mengenai kajian ini ialah menjelaskan aktiviti otak berkaitan dengan kekecewaan akibat perpisahan mengikuti paten unik yang berbeza dengan jenis kehilangan lain seperti kematian.”

Kajian dijalankan ke atas 11 wanita berusia antara 18 dan 40 tahun yang menjalin hubungan cinta sekurang-kurangnya enam bulan tetapi sudah berakhir 16 minggu lalu.

Semua wanita terbabit mengalami masalah untuk pulih akibat terlalu kecewa dengan perpisahan mereka.

Penyelidik menggunakan teknik ujian MRI untuk mengawasi aktiviti sel otak wanita berkenaan ketika mereka memberi tumpuan kepada kenangan pahit mengenai bekas teman lelaki dan suami.

Ujian MRI itu kemudiannya dibandingkan dengan aktiviti sel otak lain yang dilihat ketika wanita berkenaan memikirkan perkara neutral mengenai orang lain.

Keputusan imbasan menunjukkan wanita yang mendakwa menderita akibat perpisahan mempunyai perubahan otak ketara apabila berfikir mengenai hubungan cinta mereka yang sudah putus.

Pakar psikiatri di universiti berkenaan, Dr Jeffrey Lorberbaum, berkata kajian itu dapat membantu melanjutkan penyelidikan mengenai punca kemurungan.

Penyelidikan juga mendapati wanita berkemungkinan dua hingga tiga kali untuk mengalami kemurungan berbanding lelaki dan kawasan otak yang dipercayai berkaitan dengan kemurungan lebih aktif pada wanita berbanding lelaki.

Dicatat oleh Ibn Ishak

KERANA KU SAYANG PADAMU....

Message: Sesungguhnya kejadianmu muslimah begitu indah.
Tercipta daripada rusuk adam untuk dilindungi
Dan disayangi
Bukan di kepala untuk disanjung
Bukan juga di kaki untuk dipijak

Lantaran daripada keindahanmu itu,
Kau ibarat sekuntum bunga mawar
Keharumanmu bisa menarik perhatian sang kumbang
Untuk mendekatimu
Adakah semudah itu akan kau serahkan dirimu???

Renungilah pada keindahan bunga mawar
Yang unggul terjaga berpagarkan duri sebagai benteng
Dari kejauhan,keharumannya mencuri perhatian
Kilauan warna yang memancar indah menjadi tarikan

Namun lantaran pagaran duri iman yang berbisa itu
Si kumbang tunduk kagum
Terhadap keindahan yang terjaga
Ia akan berfikir berkali-kali sebelum mendekatinya..


Akuilah hakikat kejadian dirimu
Yang menjadi pelemah iman lelaki
Seandainya pakaian malu kau tanggalkan
Dan perbatasan aurat kau abaikan
Jadilah kau sekuntum bunga yang indah
Tapi sayang seribu kali sayang
Tak berduri
Kau tidak layak digelar mawar berduri!

Ingatlah
Muslimah solehah tidak melihat lelaki
Dan lelaki tidak melihatnya..

Peliharalah keindahanmu
Untuk si kumbang
Yang bergelar….
SUAMI…

Jauhi amalan baca ramalan bintang

Kepercayaan kepada ahli nujum, tukang tilik bawa kepada kekufuran
SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.
Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.
Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.
Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.
“Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam,” katanya.
Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari.”
Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12.
Program yang mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong itu.
Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh dengan apa yang dibaca.
Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari, minggu atau bulan.
Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.
“Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS horoskop. Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan untuk kita hari itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita hendak tahu ramalan.
“Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja dilakukan, maka akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat sikit saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek psikologi.
“Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini,” katanya.
Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya.
Beliau berkata, Allah sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu kerana mendahului takdir Allah.
Katanya, apa yang dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan daripada sudut akidah mereka.
“Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi. Tukang ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak,” katanya.
Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat karib.
Contohnya, isteri yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.
Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di langit.
Malah, Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari musibah.
Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.
Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.
“Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno ketika kecil.
“Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan bercahaya di langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu renung sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.
“Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan,” katanya.
Justeru, beliau menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan membaca ramalan bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan.

Ibu dan anaknya

Kisah ibu yg telah meninggal 5tahun melawat anaknya yg baru meninggal...akibat TIDAK SOLAT..
Dicatat oleh Ibn Ishak

Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital. Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.

Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih,badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.


Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik berlalu,wajah jenazah semakin hitam.

Selepas lima minit berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya,tetapi hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung. Ustaz," kata wanita itu. "Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya." kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya,namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya. "Betulkah ini mayat anak mak cik?"tanya saya. "Mak cik rasa betul... tapi kulitnya putih." "Makcik lihatlah betul-betul. " kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.

Tiba di luar saya bertanya kepadanya. "Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?" tanya saya. Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab. Dia seperti menyembunyikan sesuatu."Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu,saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. " kata saya untuk menggertaknya. Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya. Sambil mengesat airmata, dia berkata, "Ustaz, anak saya ni memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun. Dia memang anak yang baik. Tapi..." tambah wanita itu lagi "apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang,anak makcik ini akan terus naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan." kata wanita tersebut. Jawapannya itu memeranjatkan saya.

Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya. Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam.Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang.Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya .

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya. Selepas memperkenalkan diri, saya berkata, "Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang."


Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, "Orang tua mana pula?" katanya. Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya, wajahnya,tuturannya serta pakaiannya. "Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal lima tahun lalu!" Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Jadi 'apakah' yang datang menemui saya pagi itu?Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.


Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun. Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?

Saturday, August 22, 2009

JANGAN MENCARI TERLALU “SEMPURNA”

Jika kamu memancing ikan……
Setelah ikan itu terlekat di mata kail…Hendaklah kamu mengambil ikan itu……Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula kedalam air begitu sahaja…….Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya…Ketajaman mata kail kamu & mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup……
Begitulah juga……
Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang ……Setelah ia mulai MENYAYANGI kamu……Hendaklah kamu MENJAGA hatinya……Janganlah sesekali kamu terus MENINGGALKANNYA begitu saja……Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu……Jika kamu MENADAH air biarlah berpada……
Jangan terlalu berharap pada takungannya dan menganggap ia begitu teguh…Cukuplah sekadar untuk KEPERLUANMU sahaja……Kerana apabila ia mulai RETAK ….tidak sukar untuk kamu menampal dan memperbaikinya semula……Dan bukannya terus dibuang begitu sahaja……
Begitulah juga……
Jika kamu sedang memiliki seseorang…. TERIMALAH dia seadanya……Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan mengganggapkan dia begitu istimewa……Anggaplah dia manusia biasa……
Kerana apabila dia melakukan KESILAPAN …. tidaklah sukar untuk kamu MEMAAFKANNYA dan MEMBOLEHKAN hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhir hayat.....Dan bukannya MENGHUKUMNYA dan MENINGGALKAN dia begitu sahaja kerana kamu merasa terlalu kecewa dengan sikapnya...Lalu semuanya akan menjadi TERHENTI begitu sahaja……
Jika kamu MEMILIKI sepinggan nasi……Yang kamu pasti baik untuk diri kamu……Yang MENGENYANGKAN dan BERKHASIAT ……Mengapa kamu berlengah lagi? Cuba mencari makanan yang lain……Kerana terlalu ingin mengejar KELAZATAN ……Kelak, nasi itu akan BASI sendiri dan kamu sudah tidak boleh menikmatinya lagi……Kamu akan MENYESAL ……
Begitulah juga……Jika kamu telah bertemu dengan seorang INSAN ……Yang kamu pasti boleh membawa KEBAIKAN kepada dirimu……
MENYAYANGIMU …. MENGASIHIMU ….dan MENCINTAIMU ….
Mengapa kamu berlengah lagi?...Cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain……
Terlalu mengejar KESEMPURNAAN ……Kelak, dia akan BERJAUH HATI dan kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain……Kamu juga yg akan MENYESAL dan tidak ada gunanya lagi……
Oleh itu janganlah kita terlalu mengejar KESEMPURNAAN kerana ia bukanlah faktor utama KEBAHAGIAAN yang sempurna, sedangkan jika kita boleh memaafkan KESILAPAN orang yang kita sayang dan akur dengan KELEMAHANNYA sebagai manusia biasa serta BERSYUKUR dengan apa yang kita sudah MILIKI …kita akan BAHAGIA, BAHAGIA dan terus BAHAGIA …itu lebih BERMAKNA !
“Begitu hidup ini tiada yang abadi yg patah Kan tumbuh yang hilang Kan berganti, namun yang berganti tidak mungkin sama seperti yang hilang..

IQ

Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang; selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku.

Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit. Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, "Hmm. Hari nak hujan."

"OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu.

Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan..

"Kamu dah lama kerja mendayung sampan?" Tanya Professor itu.

"Hampir semur hidup saya." Jawab pendayung sampan itu dgn ringkas.

"Seumur hidup kamu?" Tanya Professor itu lagi. "Ya".

"Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" Tanya Professor itu.

Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya.

Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, "Kamu tahu geografi?"

Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.

"Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu."

Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?"

Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.

"Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?"

Professor itu masih lagi bertanya.

Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala.

"Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu.Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu.Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan." Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh.

Pendayung sampan itu hanya mendiamkan dirinya.

Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Professor dan pendayung sampan terpelanting.

Sempat pula pendayung sampan itu bertanya,"Kamu tahu berenang?”

Professor itu menggelengkan kepala."Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu." Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.

Moral cerita ini:

Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kehidupan.Tak guna kita pandai dan tahu banyak perkara jika tak tahu perkara-perkara penting dalam hidup.Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya dari kita.

Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER" dalam bidang yang diceburi. Hidup ini singkat. Jadi, tanyalah pada diri sendiri,untuk apakah ilmu yg dikumpulkan jika bukan utk digunakan dan boleh digunakan?

Hikmat Inspirasi:

Kepuasan itu terletak pada usaha bukannya pada pencapaian.

Wednesday, August 19, 2009

kelebihan bismillah

بسم الله الرحمن الرحيم
Bismi-llāhi ar-raḥmāni ar-raḥīmi
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih”

Bismillah adalah satu kata nama bahasa Arab yang digunakan sebagai nama kolektif keseluruhan frasa Islam berulang “bismillahi-r rahmani-r rahim”. Frasa ini menjadikan rangkap pertama setiap “surah” (atau bab) Qur’an (kecuali untuk surah kesembilan), dan digunakan dalam sejumlah konteks oleh orang Islam.

Bismillah Miliki Pelbagai Kelebihan
Ayat Bismillah mempunyai pelbagai kelebihan dan keutaman tersendiri. Disebutkan di dalam hadis yang bermaksud :

“Bahawa sesuatu perbuatan yang baik tanpa dimulai dengan Bismillah maka ia akan terputus dari rahmat Allah s.w.t.”

Dalam satu hadis lain juga dinyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

“Tiada seorang hamba yang mengucapkan Bismillah kecuali Allah s.w.t. memerintahkan malaikat yang bertugas mencatat amal manusia untuk mencatat dalam buku amalannya 400 kebaikan.”

Selain itu sesungguhnya Bismillah mempunyai pelbagai khasiat lain. Antaranya adalah :-

  1. Barang siapa membaca Bismillah dan diikuti dengan lafaz, maka dia akan dihindarkan daripada 70 musibah, kesusahan, penyakit akal dan bebal.
  2. Sesiapa yang mengamalkan membaca Bismillah sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya dia aman dan bebas daripada syaitan, kecurian, maut yang mengejut dan sebarang bencana.
  3. Apabila di baca sebanyak 19 kali apabila bertemu dengan orang yang berpangkat besar, yang sombong dan garang, InsyaAllah akan menjadi lembut.
  4. Setiap kali bila memasuki rumah bacalah kalimah bismillah itu sekali, insyaAllah diberkati dan mendapat kebahgiaan dalam rumahtangga tersebut.
  5. Apabila dibaca sebanyak 100 kali dan dihembuskan kepada penyakit selama 3 hari berturut-turut, Insyaallah sembuh penyakitnya.
  6. Barang siapa membaca Bismillah ketika hendak bersetubuh (jimak) maka anaknya kelak akan menjadi orang yang cerdas dan terbuka hatinya sehingga anak-anak yang soleh.
  7. Jika didapati seseorang yang sedang pengsan, maka hendaklah dibacakan Bismillah sebanyak 41 kali pada telinganya, insya-Allah, dia akan sedar dan kembali siuman dengan serta merta.
  8. Sesiapa yang membaca Bismillah sebanyak 313 kali dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sebanyak 100 kali pada hari ahad di saat matahari terbit dengan mengadap kiblat.Maka Allah s.w.t. akan menganugerahkan rezeki tanpa diduga sama sekali.
  9. Seseorang yang membaca Bismillah sebanyak 786 kali lalu ditiupkan pada air sebelum diberi minum kepada seseorang yang bebal selama tujuh hari sebelum matahari terbit, maka akan lenyaplah kebebalannya dan insya-Allah dia akan mudah hafal terhadap apa yang didengarnya.
  10. Sesiapa yang membaca Bismillah sebanyak 50 kali dihadapan orang zalim atau penguasa yang bengis, maka dia akan segera tunduk atau ketakutan.
  11. Barang siapa menulis Bismillah 101 kali lalu diletakkan di sawahnya, maka insya-Allah sawah itu akan menjadi subur dan terjaga daripada sebarang bencana.
  12. Sesiapa yang menpunyai hajat kepada Allah s.w.t maka sebaiknya dia berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Kemudian pada hari Jumaat itu, dia mandi sunat dan berwuduk sebelum berangkat untuk sembayang Jumaat dengan bersedekah semampunya. Selepas sembayang Jumaat, dia hendaklah membaca satu doa yang bermaksud : Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon kepada- mu dengan nama-Mu, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, yang tiada Tuhan melainkan Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang terang, Dialah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” Aku mohon kepada-Mu dengan namu-MU dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, yang tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup dan tidak pernah mengantuk apa lagi tidur (sampai akhir hayat). Dialah yang penuh kebesaran-Nya di langit dan di bumi. “Dan aku memohon kepada-Mu dengan nama-Mu, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, yang melutut kepadanya setiap wajah, tunduk kepada-Nya riqab (tengkok) dan khusyuk bagi-Nya setiap hari kerana terlalu takut, dan mengalir kerana-Nya air mata, berilah selawat serta salam, kepada penghulu kami Muhammad s.a.w. keluarga dan sahabatnya, dan berilah kepadaku apa yang ku hajati, tunaikanlah apa aku hajatkan ……. ” Insya-Allah apa yang menjadi hajatnya pasti akan dikabulkan oleh Allah s.w.t. dengan segala keizinan dan keagungannya.
  13. Bagi seseorang yang ingin sentiasa dilapangkan dan dipermudahkan rezekinya serta mempunyai keberkatan luar biasa, disegani dan dimuliakan oleh makhluk, maka hendak membaca Bismillah sebanyak 66 kali dengan memanjangkan lafaz jalahannya dan membaca doa yang bererti : ” Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu rahmat-Mu dan kurniaMu serta rezeki-Mu. Curahkanlah keatasku perasaan reda kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu. Mudahkalah untuk memperolehi rezeki-Mu dani sekalian makhluk-Mu, sesungguhnya Engkau berkuasa ke atas setiap sesuatu”.
  14. Untuk mengubati sesuatu penyakit, boleh diikhtiarkan dengan menulis Bismillah sebanyak 66 kali lalu diberi air diberi minum kepada orang yang berpenyakit dan orang yang terkena cubaan.
  15. Untuk mengubati sakit pening pula hendaklah ditulsikan lafaz Bismillah sebanyak 21 kali ke atas kertas lalu dikalungkan kepada orang sakit kepala itu.
  16. Bagi orang yang mengharap supaya hajatnya dikabulkan oleh Allah s.w.t. dia hendaklah membaca Bismillah selesai sembahyang Asar pada hari Jumaat dalam keadaan suci dari hadas dan najis dan menghadap kiblat sehinggalah matahari terbenam. Kemudian, mohonlah kepada Allah mengenai hajat yang dimintanya, insya-Allah dengan semalam kemurahan dan sifat Rahman dan Rahimnya akan dikabulkan Oleh Allah.
  17. Barang siapa yang menulis lafaz Bismillah sebanyak 50 kali dengan huruf jawi lalu dibawa dan pergi ke depan orang zalim, maka dia kan terhindar daripada sebarang niat jahat itu. Ketika menghadapnya, hendaklah dia membaca Bismillah sebanyak 50 kali pula.

Tuesday, August 18, 2009

re:salam

Assalamualaikum...
salam perkenalan buat semua.
pertama kali saya cuba menghasilkan sebuah blog.
jadi jika ada yg terkurang bantu2lah saya ya.
insyaallah, saya akan cuba update blog nie dr semasa ke semasa.

renungan bersama...

"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi"